Herbaceous Plants

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 80% penduduk dunia masih menggunakan tumbuhan herba sebagai ubatan tradisionalnya. Negara China dan India adalah antara negara yang tertua mengamalkan perubatan tradisional. Di peringkat dunia, terdapat 422,000 tumbuhan berbunga, 50,000 daripadanya digunakan untuk tujuan perubatan. Sebagai contoh, negara China menggunakan 4,941 atau 18.9% daripada 26,092 spesis tumbuh-tumbuhan untuk tujuan perubatan. Di Amerika Syarikat daripada komuniti farmasinya terdapat 25% ubat-ubatannya terdiri daripada komponen tumbuh-tumbuhan.

Hutan Hujan Tropika yang wujud di negara ini merupakan habitat bagi mega kepelbagaian biologi yang hanya terdapat di 12 negara di dunia. Bilangan spesis tumbuhan vaskular yang wujud di negara ini telah dianggarkan berjumlah 12,500 spesis atau lebih kurang 40% daripada jumlah di rantau Malaysia atau 5% daripada jumlah di dunia yang dianggarkan berjumlah lebih kurang 250,000 spesis dan daripada jumlah 12,500 spesis tumbuhan vascular tersebut, terdapat 2,830 terdiri daripada spesis pokok. Di Malaysia penerokaan utama dalam pengkajian tumbuh-tumbuhan herba dimulakan oleh Burkhill dan Haniff (1990), Gimlett dan Burkhill (1930) dan Burkhill (1935). Burkhill telah berjaya merekodkan lebih kurang 1,300 spesis tumbuhan yang berguna untuk tujuan perubatan.

Sokongan daripada kerajaan telah ditunjukkan dengan wujudnya Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) di Hospital Kepala Batas yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 26hb Oktober 1997. Terbaru juga telah wujud Pusat Penyelidikan Bioteknologi Herba, Taman Teknologi Raub, Pahang dan cadangan Taman Bioteknologi dan Herba Gua Musang yang diharap menjadi pusat untuk menyediakan prasarana tujuan komersil serta membantu usahawan-usahawan yang terbabit.

Bahan-bahan Aktif Dalam Tumbuhan Herba Ubatan

  1. Alkaloid

    Alkaloid ialah sebatian kimia organan yang mengandungi nitrogen, tiada bau, dan biasanya tiada rasa. Terdapat beratus-ratus jenis alkaloid dalam tumbuhan dan jenis yang baru masih ditemui. Kebanyakan jenis alkaloid merupakan racun yang sangat kuat terhadap manusia dan haiwan. Pelbagai alkaloid telah digunakan sebagai racun oleh masyarakat secara tradisi untuk memburu binatang atau membunuh musuh. Banyak jenis alkaloid yang sangat beracun boleh digunakan sebagai ubat mujarab dalam dos yang sangat rendah. Selain daripada kesan racun, ada alkaloid yang memberi kesan narkotik. Candu mengandungi banyak jenis alkaloid yang sangat berkesan untuk mengatasi rasa sakit, Bukan semua jenis alkaloid bersifat racun dan narkotik. Kafein dalam teh, kopi, koko, kola dan lain-lain tumbuhan merupakan sejenis alkaloid yang merangsang sistem saraf. Oleh yang demikian otak akan berasa cergas dan ada orang yang tidak dapat tidur nyenyak kalau mengambil minuman berkafein. Bahan pedas di dalam cili juga merupakan sejenis alkaloid, dan kesannya adalah merangsang sistem penghadaman dan pengedaran darah. Tindakan ini dapat meningkatkan penghadaman dan penyerapan nutrien dan menambahkan penghasilan peluh. Kepelbagaian jenis alkaloid boleh dikumpulkan dalam kumpulan yang digunakan untuk merawat kanser, asma, mengatasi sakit dan sebagainya.


  2. Asid Organan

    Banyak tumbuhan menghasilkan asid organan dalam buah yang belum masak. Namun asid organan juga boleh didapati dalam buah yang masak, daun muda atau bahagian lain. Pada amnya kehadiran asid organan dalam tumbuhan boleh dicam melalui rasa masam. Asid organan yang paling terkenal adalah asid askorbik, iaitu Vitamin C. Satu lagi asid organan yang sangat penting dalam ubat herba ialah asid salisilik yang diguna sebagai antiseptik untuk merawat reumatisme, mengatasi sakit dan sebagainya. Dalam ubat Farmaseutik, asid salisilik ditukar menjadi asid asetil-salisilik yang lebih dikenali sebagai aspirin yang digunakan sebagai ubat demam panas, sakit kepala, selesema dan sebagainya. Contoh asid organan yang lain ialah asid sitrik dan asid tartarik. Asid organan seperti asid sitrik, asid tartarik dan lain-lain juga digunakan dalam industri minuman dan makanan sebagai pengawet dan juga perisa.


  3. Bahan Pahit

    Bahan pahit ialah sekumpulan sebatian kimia organan yang tidak mengandungi nitrogen, mempunyai rasa sangat pahit dan biasanya tidak toksik. Terdapat banyak jenis tumbuhan yang mengandungi bahan pahit. Walaupun hampir semua bahan pahit bukan racun, ia tidak bermakna tumbuhan yang berasa pahit boleh dianggap tidak beracun kerana satu tumbuhan boleh mengandungi banyak jenis sebatian kimia. Jika satu sebatian sahaja beracun memadai untuk memudaratkan kesihatan atau mengacam nyawa manusia. Sebagai ubat herba, bahan pahit membuka selera dengan cara merangsang penghasilan cecair penghadam, meningkatkan penghadaman makanan dan penyerapan nutrien. Penghadaman yang berjalan dengan lancar sememangnya bukan sahaja untuk keselesaan perut malah penting untuk keseluruhan kesihatan. Bahan pahit digunakan sebagai ubat herba untuk orang tua, kurang daya fizikal, menghidap penyakit kronik, sampu, lemah dan tiada tenaga.


  4. Flavanoid

    Flavanoid ialah bahan seakan-akan vitamin. Flavanoid juga dikenali sebagai polifenol. Flavanoid terdapat dalam banyak jenis tumbuhan ubatan. Terdapat lebih 4000 jenis Flavanoid. Kepelbagaian Flavanoid dikumpulkan dalam pelbagai jenis seperti antosianin, flavon, flavonol, isoflavon, katecin dan tannin. Satu jenis tumbuhan boleh mengandungi pelbagai jenis Flavanoid. Flavanoid diperlukan untuk pelbagai jenis fungsi dalam tubuh. Tumbuhan yang mengandungi Flavanoid biasanya digunakan sebagai ubat herba untuk mengatasi masalah pengedaran darah. Flavanoid juga memberi kesan antioksidan, antiradang, antibakteria dan antivirus. Satu jenis Flavanoid, contohnya kuersitin, boleh memberi kesan baik atau kesan buruk kepada sel. Sama seperti banyak bahan lain, dos yang berlainan akan memberi kesan yang bertentangan, racun yang sangat bahaya dan cepat membunuh. Ia juga mungkin boleh digunakan sebagai ubat untuk menyelamatkan nyawa kalau digunakan pada dos yang sesuai. Kajian menunjukkan bahawa orang yang makan lebih makanan yang mengandungi kuersitin sepanjang hayat akan kurang menghadapi masalah sakit jantung atau strok apabila lanjut usia.


  5. Glikosid

    Glikosid ialah satu kumpulan sebatian kimia kompleks yang mengandungi satu bahagian bukan gula dan satu atau lebih bahagian gula. Walaupun bahagian bukan gula yang memberi kesan ubat, namun bahagian gula adalah penting untuk melancarkan penyerapan dan aktiviti glikosid. Kepelbagaian glikosid dikumpulkan dalam beberapa jenis seperti glikosid digitalis, glikosid fenolik, glikosid flavanoid dan glikosid salisilik. Kebanyakan glikosid mempunyai tindakan yang kuat terhadap jantung tetapi ada juga jenis yang melawaskan buang air kecil atau besar, dan ada jenis yang bersifat antibakteria.


  6. Minyak

    Minyak volatil dihasilkan oleh sel kelenjar dalam tumbuhan tertentu. Ia boleh dihasilkan pada mana-mana bahagian tumbuhan, bergantung kepada jenis tumbuhan. Ia bersifat meruap, iaitu akan meruap masuk udara apabila dipanaskan. Tumbuhan yang mengandungi minyak volatil digunakan sebagai ubat herba yang direbus atau dibancuh seperti teh (untuk diminum), minyak urut tradisional ataupun minyak volatil diekstrak keluar dan digunakan sebagai ubat. Pada amnya, kebanyakan tumbuhan yang mengandungi minyak volatil boleh dicam melalui bau yang terhasil seperti halia, kayu manis, pudina, ros dan serai. Makanan sayuran atau ubat yang mengandungi minyak volatil biasanya baik untuk penghadaman, mengatasi selesema, dan sakit-sakit atau sengal pada sendi atau otot. Minyak volatil yang diekstrak biasanya digunakan sebagai ubat luaran yang disapu pada kulit atau digunakan sebagai minyak urut. Namun ia tidak sesuai digunakan pada luka kerana boleh menimbulkan rasa sakit dan gatal. Minyak volatil jenis yang tertentu yang sangat pekat kalau disapu pada kulit yang sihat juga menimbulkan rasa perit seperti terbakar. Minyak volatil turut digunakan dalam sistem perubatan (yang berasaskan aroma), masakan, minuman, minyak wangi, pembersih udara dan kosmetik.


  7. Musilaj

    Musilaj dihasilkan dalam proses metabolisme yang berlaku dalam tumbuhan. Ia akan kembang, kental dan lentur apabila dicampur air. Musilaj dihasilkan daripada rantai panjang gula terikat yang dikenali sebagai polisakarid. Musilaj boleh digunakan untuk melegakan kulit, melembutkan keadaan dan mengurangkan bengkak, contohnya musilaj daripada daun lidah buaya. Musilaj yang digunakan secara oral dalam ubat herba adalah untuk merawat masalah usus dan perut, contohnya musilaj pada biji selasih atau kembang semangkuk.


  8. Resin

    Resin adalah produk getah tumbuhan tertentu. Apabila getah keluar dan terdedah kepada udara, getah jenis resin akan menjadi keras. Resin tidak larut dalam air. Kebanyakan resin yang digunakan sebagai ubat herba mempunyai sifat antijangkitan. Resin bertindak sebagai antiseptik, menghentikan pendarahan, mengatasi sakit dan digunakan sebagai pestisid. Resin sebagai dupa yang dibakar untuk mengeluarkan bau yang wangi, mempunyai kesan antibiotik dan untuk merawat. Resin yang paling terkenal dalam perubatan Melayu ialah kemenyan yang dibakar dengan bara arang untuk mengasap rumah dan pesakit dalam upacara penyembuhan. Gaharu juga sejenis resin yang digunakan sebagai ubat herba dan sumber asap yang sangat wangi untuk menyembuh dan menyegarkan jiwa.


  9. Saponin
    Saponin ialah sebatian organan dalam tumbuhan yang mempunyai sifat kimia yang sama dengan glikosid dan menghasilkan buih apabila dikacau dalam air. Ada banyak jenis Saponin yang sangat toksik dan cepat memecahkan sel merah darah. Ada pula Saponin yang kurang diserap oleh sistem penghadaman manusia. Oleh yang demikian ia tidak menimbulkan masalah kepada kesihatan walaupun dimakan atau diminum. Ada Saponin yang mempengaruhi perut. Ia merangsang paru-paru untuk menghasilkan hingus. Sifat ini digunakan dalam ubat herba untuk merawat batuk kering, iaitu penghasilan hingus akan membuat pesakit lebih senang batuk, mengeluarkan kahak dan berasa lebih selesa. Ada Saponin yang seakan-akan steroid yang digunakan untuk mengubati sistem reproduktif iaitu tonik tenaga lelaki, tonik wanita atau ubat antiradang.


  10. Steroid

    Steroid ialah sebatian kimia yang mempunyai empat gelang karbon yang dipanggil tulang belakang steroid. Tambahan pelbagai jenis kimia lain pada pelbagai bahagian tulang belakang steroid menghasilkan sebatian steroid yang berlainan. Menambah molekul gula kepada steroid menghasilkan glikosid steroid. Steroid juga boleh bergabung dengan saponin. Steroid terdapat pada pelbagai tumbuhan yang bertujuan utama sebagai pertahanan kerana steroid biasanya memberi kesan negatif kepada haiwan yang bertulang belakang, iaitu untuk menjauhi haiwan memakan tumbuhan. Steroid berkesan sebagai ubat perancang keluarga (menjarangkan anak dan menambah kesuburan wanita), meningkatkan kemungkinan hamil, mengawal edaran haid, penawar alahan, ubat busung, arthritis, sakit jantung dan lain-lain.


  11. Tanin

    Tanin ialah sebatian kimia organan yang dihasilkan dalam proses pertumbuhan. Ia sekumpulan sebatian ringkas atau kompleks fenol, polifenol dan flavonol yang terikat dengan kanji. Komponen asas kimia Tanin ialah gula, asik galik, asid elagik, flavonoid, lignan, stilbenoid dan quixon. Tanin mempunyai sifat astringen dan perangsang. Semua tanin mengecutkan tisu dan protein pada kulit dan lendir. Tanin bertindak balas dengan protein dan mengeraskan protein. Tanin yang paling dikenali oleh manusia ialah jenis yang terkandung di dalam teh pekat. Teh pekat memberi rasa astringen pada mulut, iaitu rasa seperti bahan yang kelat. Dalam ubat herba, tanin digunakan untuk merawat kulit terbakar, lecur, ulser dan luka. Sebagai ubat luaran, tanin boleh menghentikan pendarahan, mengurangkan bengkak dan menyembuhkan luka. Tanin juga boleh melegakan mata yang letih, merawat batuk, cirit, jangkitan dan pendarahan. Sebagai ubat dalaman, tanin boleh mengatasi bengkak atau radang dalam perut dan usus. Pelbagai jenis tumbuhan yang mengandungi tanin digunakan sebagai ubat herba untuk ibu lepas bersalin supaya dapat mengecutkan perut dab rahim, melalui hasil tindakan tanin jenis tertentu. Ia juga digunakan untuk merawat diabetis, mengawal keseimbangan hormon yang dihasilkan oleh limpa, mempunyai kesan antiherpes dan antibiotic. Ada kajian yang menunjukkan bahawa orang yang kerap makan makanan yang kaya dengan tanin seperti sekoi tidak menjadi gemuk kerana tanin menghalang penyerapan secara keterlaluan ke atas bahan-bahan yang boleh membuat seseorang menjadi gemuk, seperti gula dan protein. Sifat menghalang penyerapan gula juga menjadi asas penggunaan tumbuhan yang mengandungi tanin untuk menentang diabetis. Ada juga tanin yang bersifat antioksidan, contohnya asid elagik.


  12. Mineral dan Vitamin

    Mineral ialah kimia bukan organan yang diserap oleh tumbuhan. Tumbuhan dan bahagian tertentu pada sesuatu tumbuhan akan menyerap, menyimpan dan menggunakan mineral tertentu mengikut keperluan. Kandungan mineral dalam tumbuhan juga dipengaruhi kandungan mineral dalam tanah, air, suhu, cuaca, hujan, kedudukan geografi dan sebagainya. Tubuh manusia memerlukan lebih kurang 15 jenis mineral dan 15 jenis vitamin dalam kuantiti yang kecil untuk kesihatan. Kekurangan mana-mana satu mineral dan vitamin boleh menimbulkan masalah kesihatan. Lebih kurang 15 sebatian dikelaskan sebagai vitamin dan 15 lagi kemungkinan vitamin. Vitamin dibahagikan kepada jenis yang larut dalam lemak dan yang larut dalam air. Selain daripada vitamin D dan K, kesemua vitamin yang lain hanya boleh diperolehi daripada makanan. Vitamin tidak menyumbangkan tenaga. Ia terlibat dalam aktiviti metabolisme sebagai pemangkin atau terlibat dalam tindak balas kimia. Dalam negara maju, kekurangan mineral dan vitamin timbul kerana pemilihan makanan yang kurang arif. Contohnya, makan terlalu sedikit sayuran dan buah-buahan segar, minum terlalu banyak arak, makan terlalu banyak makanan yang manis atau lemak, dan memakan makanan yang hilang mineral dan vitamin melalui pemprosesan makanan. Orang miskin yang makan banyak karbohidrat tetapi kurang atau tiada langsung memakan daging, sayuran atau buah-buahan juga mengalami masalah kesihatan yang kekurangan mineral dan vitamin.


    Nilai Pasaran Herba
     

    Potensi produk herba telah ditunjukkan oleh nilai eksport dan importnya di negara ini. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati nilai import tumbuhan ubatan telah meningkat daripada RM167 juta pada tahun 1990 kepada RM371 juta pada tahun 2002. Manakala nilai eksportnya pula telah meningkat dari RM17 juta pada tahun 1990 kepada RM45 juta pada tahun 2002. Bagi tumbuhan beraroma termasuk ramuan pewangi minyak pati, nilai eksport telah meningkat dari RM2 juta pada tahun 1990 kepada RM16 juta pada tahun 2002 manakala importnya dari RM83 juta pada tahun 1990 telah meningkat kepada RM277 juta pada tahun 2002. Nilai pasaran herba dunia dijangka akan mencecah USD5 trillion menjelang 2050, demikian menurut kajian industri herba di Malaysia yang telah dilaksanakan oleh MARDITECH. Pada tahun 1997, pasaran herba dunia ialah USD60 billion dan akan meningkat kepada USD200 billion pada tahun 2008. Minat penduduk tempatan terhadap ramuan herba juga jelas digambarkan daripada jumlah produk tradisional di pasaran negara iaitu sebanyak 36.9% daripada 27,359 produk yang didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada tahun 2001. Berdasarkan laporan WHO pada tahun 2002, dianggarkan rakyat Malaysia dalam masa setahun membelanjakan wang sebanyak USD500 juta untuk perubatan tradisional berbanding USD300 juta untuk perubatan alopatik. Kadar pertumbuhan bagi sektor ini di negara kita ialah antara 15%-20% setahun. Kebanyakan herba ubatan negara kita dieskport ke Singapura, Filipina, Australia dan Hong Kong.
Sky Bet by bettingy.com

Contact Us

Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Trengganu Sdn Bhd (56141-K)
Jalan Kalsium Bandar Bukit Besi
23200 Dungun
Terengganu Darul Iman

Tel: +609 833 7245
Fax: +609 833 7023

Email : info@kpkkt.com.my
FSC (MR) : osmadi@kpkkt.com.my

Others


 


 

You are visitor No:You are visitor No:294

Related Links